Patutkah saya menjalani ujian saringan untuk kanser prostat?
prostate-article-screening
Patutkah saya menjalani ujian saringan untuk kanser prostat?

Ujian saringan adalah bertujuan untuk mengesan kanser sebelum seseorang pesakit menunjukkan gejala dan tanda awal. Kebanyakan kanser prostat membesar secara perlahan dan mungkin tidak memerlukan rawatan. Namun, sesetengah kanser prostat boleh membesar secara pantas dan merebak ke bahagian badan yang lain. Justeru itu, pengesanan awal adalah penting untuk jenis kanser prostat yang agresif bagi meningkatkan peluang penyembuhan.

Sasaran utama ujian saringan kanser prostat adalah untuk mengesan kanser prostat di kalangan lelaki yang berisiko tinggi dan memberi rawatan pada peringkat awal. Terdapat dua jenis strategi saringan yang kerap digunakan untuk kanser prostat iaitu:

  • Pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE) – Doktor akan memakai sarung tangan getah dan memasukkan jari ke dalam dubur untuk merasa permukaan kelenjar prostat. Kaedah pemeriksaan ini biasanya diikuti dengan ujian darah prostat specific antigen (PSA).
  • Ujian darah Prostate Specific Antigen (PSA) – Ujian ini adalah untuk mengesan paras PSA (sejenis protin yang dihasilkan oleh kelenjar prostat) dalam darah. Ujian PSA adalah amat berguna dalam pengesanan awal kanser prostat terutamanya dalam`golongan yang berisiko tinggi. Tetapi, ujian ini juga dapat mengesan masalah prostat yang bukan kanser termasuklah BPH dan prostatitis.

Kedua-dua ujian saringan kanser prostat ini mungkin memberikan keputusan ‘false negative’ atau menyebabkan pesakit dirawat tanpa keperluan. Oleh itu, adalah wajar untuk berbincang terlebih dahulu dengan doktor bagi menilai risiko anda sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjalani ujian saringan ini.

Terdapat dua cadangan dari pertubuhan-pertubuhan antarabangsa tentang ujian saringan kanser prostat:

  • ‘U.S. Preventive Services Task Force’ (USPSTF) mencadangkan bahawa golongan lelaki yang berumur 55 hingga 69 tahun wajar berbincang dengan doktor tentang kebaikan and kelemahan ujian saringan kanser prostat melalui ujian darah PSA sebelum membuat sebarang keputusan. Golongan lelaki yang berumur 70 tahun dan ke atas tidak digalakkan untuk membuat ujian saringan kanser prostat secara tahunan.
  • ‘National Comprehensive Cancer Network’ (NCCN) mencadangkan bahawa keputusan menjalani ujian saringan kanser prostat hendaklah berdasarkan faktor-faktor seperti umur pesakit, paras PSA dalam darah dan keputusan pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE).

Sekiranya anda berhasrat untuk menjalani ujian saringan ini, anda dinasihatkan sentiasa berbincang dengan doktor anda. Soalan-soalan yang harus dipertimbangkankan termasuk:

  • Adakah anda mempunyai sejarah keluarga kanser prostat?
  • Adakah anda mempunyai sebarang comorbids yang mungkin menyebabkan anda tidak dapat menjalani rawatan kanser prostat sekiranya didapati positif melalui ujian saringan?
  • Bagaimanakah anda menilai kebaikan dan kelemahan saringan, pengesahan dan rawatan kanser prostat?

Sumber gambar: