Tanda dan gejala kanser prostat adalah bergantung kepada peringkat penyakit tersebut. Kebanyakan pesakit kanser prostat tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala pada peringkat awal. Sesetengah pesakit mungkin mengalami tanda and gejala seperti berikut:
- Kencing kerap
- Kencing kerap kali pada waktu malam
- Aliran air kencing yang lemah, tersekat-sekat atau tidak lancar
- Darah dalam air kencing atau air mani
Namun begitu, tanda dan gejala ini turut dialami oleh pesakit yang mempunyai masalah prostat bukan kancer seperti pembengkakan prostat (BPH), jangkitan pundi kencing atau akibat kesan sampingan ubat.
Sekiranya kanser prostat telah merebak dari kelenjar prostat ke bahagian badan yang lain, tanda dan gejala yang mungkin dialami adalah:
- Sakit belakang, sakit pinggang, sakit otot kaki, sakit bahu atau sakit tulang yang lain
- Kaki bengkak
- Penurunan berat badan yang mendadak
- Keletihan
Sekiranya anda mengalami tanda atau gejala ini, sila berjumpa doktor secepat mungkin untuk mengenalpasti puncanya.