Sekiranya keputusan ujian darah PSA atau pemeriksaan prostat melalui rektum menggunakan jari (DRE) adalah tidak normal, doctor akan menasihati anda untuk menjalani ujian biopsi bagi mengenalpasti diagnosa kanser prostat.
Biopsi ialah satu prosedur melibatkan pengambilan sedikit tisu dari kelenjar prostat untuk pemeriksaan di bawah mikroskop. Prosedur ini biasanya dijalankan oleh pakar urologi yang merupakan pakar dalam masalah prostat dan penyakit saluran kencing yang lain. Kebiasaannya, pakar urologi akan mengambil sampel tisu dari prostat dengan menggunakan jarum halus yang dimasukkan melalui rektum ke dalam prostat (biopsy transrektum). Ini dilakukan di bawah bimbingan TRUS (Transrectal Ultrasound) atau MRI (Magnetic Resonance Imaging). Di samping itu, terdapat satu cara biopsi yang dikenali sebagai biopsi transperineum. Prosedur yang dijalankan di bawah bius penuh ini melibatkan pengambilan sampel tisu dari prostat dengan menggunakan jarum halus yang dicucuk melalui kulit di antara skrotum dan rektum, ke dalam prostat.
Apabila tisu prostat diperiksa di bawah mikroskop, ‘Gleason score’ akan diberikan kepada tisu yang disahkan dengan diagnosa kanser prostat. ‘Gleason score’ adalah berdasarkan jumlah bilangan sel dalam tisu barah yang kelihatan berbeza daripada sel-sel prostat yang normal. Julat ‘Gleason score’ adalah dari 6 hingga 10. ‘Gleason score’ yang semakin tinggi menunjukkan kanser prostat yang lebih agresif. Contohnya, ‘Gleason score’ 8 dan ke atas adalah untuk sel barah yang sangat berbeza dari sel-sel prostat yang normal dan berpotensi untuk merebak dengan lebih pantas.
Setelah disahkan menghidapi kanser prostat, pengenalpastian peringkat kanser adalah amat penting untuk mengetahui sama ada kanser tersebut masih berada dalam kelenjar prostat atau telah merebak ke bahagian badan yang lain (metastasis).
Terdapat beberapa jenis ujian imbasan (‘imaging’) yang biasanya digunakan bagi tujuan ini termasuklah imbasan tulang (‘bone scan’), ‘magnetic resonance imaging’ (‘MRI scan’) dan ‘computed tomography’ (‘CT scan’). Keputusan dari ujian imbasan ini adalah penting untuk membantu doctor menentukan rawatan yang paling sesuai untuk seseorang pesakit. Sesetangah pesakit peringkat awal yang berisiko rendah tanpa sebarang gelaja mungkin tidak perlu menjalani ujian imbasan seperti CT scan dan bone scan untuk menentukan tahap kanser prostatnya.
Sumber gambar: